Monday, 27 February 2012

Perjuangan Aiman dalam Mentor 5 tiba ke penghujungnya malam kelmarin apabila dia jauh tertinggal dalam pungutan markah secara keseluruhan. Protégé Rahim Maarof ini hanya mengumpul 190 markah sedangkan Iqa mendapat 237 markah dan Salma 307 markah.

Ketika ditemui selepas konsert berakhir, Aiman memberitahu yang dia sememang berasa agak kecewa kerana tidak dapat terus bersama Mentor. Bagaimanapun, kekalahannya itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya.  Sebaliknya, jejaka berusia 22 tahun ini sudah ada perancangan untuk melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian.

“Tersingkir daripada Mentor  bukan bermakna saya harus berhenti di sini. Saya mahu terlibat dalam bidang ini secara serius.  Selepas ini perkara pertama yang sama akan buat dulu ialah kukuhkan perkara asas dalam bidang nyanyian.  Saya akan masuk kelas vokal untuk mempelajari teknik nyanyian dengan betul. Selain itu, saya juga akan beri tumpuan pada pelajaran dalam bidang perakaunan. Saya ada masa setahun setengah lagi untuk melengkapkan pembelajaran , ‘’ ujar Aiman.

Dalam masa yang sama, Aiman juga memberitahu yang dia sangat menghargai pengalaman sepanjang bersama Mentor. Baginya ilmu yang diperolehi sepanjang dua bulan setengah itu sukar untuk diperolehi di tempat lain.

“Melalui Mentor banyak perkara yang saya telah pelajari tentang nyanyian.  Saya langsung tidak ada pengalaman menyanyi atau menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.  Dengan tunjuk-ajar mereka yang profesional, banyak ilmu yang telah saya pelajari. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu saya selama ini,” ujar Aiman lagi.

Pada konsert malam tadi Aiman tampil mempersembahkan lagu I’ll Be dan Sesuatu Janji yang dipopularkan oleh Edwin McCain dan Taufik Batisah.  Persembahannya itu tidak begitu menambat hati juri profesional apabila Datuk Hj. Ramli MS mengatakan Aiman cepat ‘pancit’ apabila turut menari bersama. 

Manakala juri jemputan, Mus May, berpendapat Aiman nampak tidak selesa ketika membuat persembahan. Mus juga meminta Aiman memperbaiki teknik nyanyiannya.

1 comment: